Archive for April 2011

Hari-hari terakhir Pelajar IB KMB

(Dipetik daripada laman web peribadi, http://www.norshah.com/)
Hari-hari Terakhir Pelajar IB
Oleh: Shahkang (IB 2007/2009) 

Saya pernah menukil hal yang serupa setahun yang lepas. Kini sudah lebih setahun saya berasa ‘terheret’ semula untuk melemparkan satu dua hal yang serupa. Maaf. Tangan begitu gatal untuk menceritakan pengalaman dan sedikit perkongsian saat menghadapi peperiksaan IB.

Tidak pasti membantu atau tidak. Mungkin saya teruja kerna bertemu keajaiaban dalam detik sebulan sebelum menapak masuk ke dewan peperiksaan IB. Waktu-waktu yang saya kira, sukar nak dilenyapkan dari layar ingatan. Banyak yang manis dan tak kurang yang pahit. Bercampur aduk.

Tiada Istilah Lambat

Apabila dihimpit dengan masa dan tersepit di antara belajar dan tarikh peperiksaan, saya suka memetik kata-kata George Elliot yang satu ini:

“It is never too late to be what you might have been”

Sememangnya kita tak pernah terlambat untuk berubah. Seingat saya dahulu, kami mula bertungkus lumus bagai nak rak apabila sebulan menjelang peperiksaan IB. Maklumlah pada  ketika itu sudah tiada EE yang menyemak hidup dan TOK yang membelit dan menjerut leher. Tiada dan semuanya tiada.

Apa lagi yang  dimahukan? Semua elemen-elemen yang melecehkan (kononnya) itu sudah pun lenyap? Apa lagi alasan untuk tidak belajar? Apakah terlalu bergiat cergas dengan tapak Bio-D sampai tidak sempat belajar (dulu saya ada tanam pisang dan mencabut nenas. Tak tahu sekarang ada apa)? Atau sibuk dengan membeli rojak sedap di pekan Banting? 

Saya memenjarakan diri dari tanggal 20 Mac 2009 sampai 20 Mei 2009. Tanpa keluar atau melepasi pondok pengawal walau untuk membeli goreng pisang di hujung simpang sekalipun. Perit amatlah perit. Tapi kenangannya cukup mekar di hati. Setiap masa digunakan sepenuhnya untuk melayan diri sendiri yang sangat bodoh untuk memahami konsep magnet dalam Fizik, atau induksi Matematik yang memetik picu ketakutan. Keluar pintu pagar pada 20 Mei baru sedar wujudnya bangunan kecil merangkap ATM baru di tepi pagar utama.

Alhamdulilah, penjara tersebut berhasil juga dan membantu saya meningkatkan markah. Kalau ditakdirkan saya melingkup dalam peperiksaan pun, saya berasa puas. Sebabnya saya sudah berusaha sedaya yang mungkin dan tidak akan menyesal dan berkata ”Oh kenapalah aku begitu asyik menanam pisang di Bio-D dan melayani Crispy Popiah di Alamanda sampaikan terlupa kaedah untuk Chi Square test!”

Lupakan keputusan lepas

Adalah sedikit bodoh jika kita berasa down kerana keputusan semester-semester lepas yang mengecewakan. Dan bangang juga kepada kita yang cuba mendabik dada dan berkata kita sudah cukup bagus. Betul juga, dah dapat honor roll tiga kali berturut-turut. Bukankah itu bagus?

Jawapannya tidak sama sekali. Sebab ganjaran honor roll hanyalah sekadar makan percuma (tak tahulah mungkin sekarang dah berlainan dan ada hadiah lain seperti tiket melancong dan sebagainya). Bukannya ada agregat yang boleh dibawa untuk keputusan IB. Tiada langsung kaitan. Jika anda menulis karangan kreatif kepada pengerusi IB mengenai keputusan cemerlang anda sebelum ini pun dia mungkin menggunakan kertas tersebut untuk origami sahaja.

 Peperiksaan IB itu bermula daripada kosong. Setiap pelajar yang masuk ke dewan itu membawa markah kosong. Tiada siapa lebih dan siapa kurang. Macam pertandingan bola sepak – setiap pemain masuk gelanggang dengan bilangan pemain yang cukup, mata 0-0 dan ada 90 minit untuk mengubah segala-galanya. Oh ya, mungkin ada assignment yang lain sebagai markah tapi secara luasnya peperiksaan itu menyumbang kepada pecahan markah yang lebih.

Sejujurnya, peperiksaan IB sangat  sukar dijangka (macam English FA Cup, if you know what i mean). Banyak pelajar-pelajar mendapat keputusan yang sukar dijangka. Ada yang dari 28 menjadi 38. Ada yang dari lebih 37 jatuh bawah 35. Sangat sukar untuk dijangka.

Jadi, usahlah berlagak dan jangan terlalu merendah diri dengan keputusan lalu. Peperiksaan itu bulat seperti bola. Apa-apa sahaja boleh berlaku.

Analogi Pasukan Bola

Maaf kerna suka mengaitkan bola sepak dengan peperiksaan. Namun, memang ada besar  perkaitannya.
Nak berkongsi satu analogi mudah. Bayangkan Man City melawan United dan mereka ketinggalan 3-0 tika separuh masa pertama tamat. Adakah mereka akan berkata begini pada waktu rehat:


”Oh tak apalah, kita kira settle la. Dah kalah, nak buat macam mana? Takdir. ”
”Jom balik ler. Tak guna sambung main”
”Jom main angry bird[1]?”

Sudah pasti tidak. Selagi ada masa selagi itu akan diusahakan untuk memenangi perlawanan. Tidak ada pemain-pemain yang akan melepak walaupun sudah tiada harapan menang. Mereka tetap, akan cuba menjaringkan gol.

Begitu juga kita, kalau rasa diri sukar nak mendapat 45 atau 40 ke atas, memadailah dengan dapat 37 dan ke atas. Yang penting, usaha sahaja merapatkan ’kedudukan’. Sama ada dapat atau tidak itu di luar bidang kuasa kita.
Jikalau anda masih bertakut-takut dengan keputusan semester lepas yang mendukacitakan tahap dewa, anda dapat diibaratkan seperti Manchester United yang segan silu hendak menyertai Champions League kerna kekalahan kepada Barcelona tiga tahun lepas. Atau mungkin seperti segannya AS Roma untuk kembali ke Old Trafford kerana kekalahan 8-1 beberapa tahun lalu.

Kalau sudah segan nak menyambung perjuangan, balik tidur sajalah. Atau mungkin boleh bersiar-siar di sekitar Banting, beli rojak dan cendol kemudian balik rumah.  Yang mahu ditekankan di sini, kesemua pasukan yang disebut tadi tidak kenal erti kekalahan. Mereka terus berjuang untuk kancah bola sepak musim seterusnya. Begitu juga kita semua sebagai seorang pelajar. Perlu menyambung perjuangan dalam akademik walau sejarah yang lepas begitu menyakit dan mencucuk perasaan. Apa-apa pun, La Tahzan (jangan bersedih!).

Bertangguh

’Berehat’ selama sebulan dan mempunyai masa lapang yang melimpah sememangnya satu perangkap. Anda akan teruja untuk mengatakan ’Eh tak apa, tadi IRP sudah belajar”.  Maka pada waktu lainnya anda akan dilalaikan dengan tidur dan melingkupkan masa yang berharga.

Hakikatnya, IRP bukanlah satu-satunya waktu belajar yang ideal. Maksudnya, IRP sahaja tidak mencukupi. Sangat tidak mencukupi. Ramai yang beranggapan IRP sudah memadai. Sangat tidak betul kerna yang mengendalinya adalah guru dan mereka tidak mengetahui secara mendalam mengenai ketidakfahaman anda. Hanya anda yang mampu memandu diri  untuk memburu apa sahaja topik yang masih belum dikuasai.

Dialog yang selalu menyelubungi diri ketika musim IRP adalah seperti berikut:


”Tak apalah, esok petang lepas IRP kan percuma (free), belajar waktu itu sajalah”
”Eh, letih IRP tadi. Lepas main petanque (er?) sajalah kita belajar.”
”Eh semayang dulu semayang dulu”
”Lepas Isyak lah. Eh, lepas beli nasi lemak KOOP. Eh lepas ambil bakul dobi.”

Akhirnya, kita juga yang termakan dengan janji-janji palsu sendiri. Hakikatnya, jika manusia diserang dengan masa lapang memang pembuangan masa itu sangatlah berleluasa. Apabila terlalu banyak masa lapang, kita tidak akan tahu untuk menghargainya. Sebab itu kena sibukkan diri dengan bermacam-macam hal agar masa kita dapat dipadatkan dengan bahan berfaedah dan kita akan merasalebih alert untuk menggunakan masa dengan sempurna.

Jangan Sombong

Sering kali kita terkena sindrom sombong ini, yakni membuka subjek lain ketika IRP subjek lain. Pandangan saya, kurang baik. Ya tahu, kita begitu hebat dalam sesuatu subjek (selalunya, English) maka kita akan membuka buku Math atau Kimia sewaktu IRP English selama dua jam.

Berkatkah ilmu kita? Tepuk kepala dan tanya siapa yang kurniakan ilmu kalau bukan Allah SWT. Tindakan tidak menghormati guru adalah sesuatu yang mengundang berkat atau tidak? Entah. Saya tak pandai agama. Dulu hafazan dengan Ustaz Sulor pun sangkut ditambah dengan selalu terlepas ceramah. Jawablah sendiri.

Spot soalan?

Sesuatu yang hanya dilakukan oleh pengecut, mungkin. Kurang enak dan menarik sebenarnya dengan gejala meneka-neka soalan atau sekadar menguliti soalan past years dan berharap soalan serupa akan keluar. Jawapannya, sukar untuk berjaya.

Buktinya? Banyak sekali. Tahun saya telah digemparkan dengan soalan bulatan yang sangat menakutkan semasa Math Paper 2 (walaupun bulatan dilihat seperti sesuatu yang comel dan menarik namun ternyata TIDAK buat kes yang ini). Teringat pula sahabat sebelah meja yang terduduk tak mahu keluar-keluar dewan peperiksaan setelah tamat kertas tersebut. Saya sendiri pula, terdiam lalu bernekad membalas dendam untuk Math Paper 3 yang mendatang.

Kertas Math itulah yang banyak mengakibatkan bermacam-macam hal yang kurang diingini telah berlaku kepada saya dan sahabat lain. Lantaran itu, sentuhlah semua topik-topik yang terlibat. Anda bukan pembuat soalan yang mengetahui apa yang nak dipamerkan di atas kertas soalan.

Harapan

            Ringkasnya, bersedialah untuk mengubah diri. Masa masih berlungguk untuk dimanfaatkan. Perubahan dalam masa sebulan yang mendatang tidak mustahil dapat melahirkan angka-angka ajaib ketika keputusan peperiksaan diumumkan.  Cubalah sama-sama kita tanam di dalam diri ayat surat Ar-Rad bernombor 11 ini:

 Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”

Rezeki Allah itu luas kalau dicari dan orang yang mematuhi sunnahtullah , insyaAllah bakal dikurniakan ganjaran. Keluarlah dari kepompong kemalasan yang membelenggu diri. Berseksalah dalam sebulan ini untuk kesenangan masa hadapan yang terjamin. Sedarlah kita sebagai pejuang agamadan negara di dalam bidang akademik. Meminjam kata-kata sahabat sekuliah saya di sini, ”Education is the sign of worship”. Ya, tidak ada guna kita bergebang merata untuk berjuang demi masyarakat jika dalam lapangan sendiri kita terkubur.

Mimpilah dan bercita-citalah dengan segala apa yang anda mahu. Seperti kata-kata Eleanor Roosevolt:

 The future belongs to those who believe in the beauty of their dreams.”

Tetapi, janganlah pula sekadar nganga berangan-angan dan terus bermain games dan melepak tak berketahuan hala antara waktu Isya’ dan supper dan mengharapkan bulan untuk jatuh ke riba. Atauterlalu sibuk dengan mengemas bilik untuk belajar, kononnya. Atau kejar mengejar cikgu namun hakikatnya terlepas ke LRC dan membaca surat khabar berjam-jam. Atau mungkin bermain pada waktu petang dengan alasa ”Dah stadi lama, kena release tension” walhal anda cuma belajar satu jam itu pun diselang-seli dengan makan nugget berharga tiga keping satu ringgit yang dijual di belakang koop. Atau menunggu kawan IRP di DS untuk belajar bersama-sama hakikatnya lebih menumpukan kepada makanan supper atau nasi lemak yang dibeli di mana-mana. Atau mungkin mengambil alasan untuk ke Alamanda untuk belajar secara berkumpulan di sana kerna yakin Krispy Popiah yang sedap itu mampu membangkitkan iman yang lesu. Dan, bermacam-macam lagi.

Oh, saya sudah menulis dengan panjang sekali. Maaf kerna panjang dan meleret. Sekian dulu.

Shahkang.


[1] Sejenis permainan kanak-kanak yang mula diminati ramai

Oh, sengaja meletakkan Gatsby di sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...